5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Mengenai VARIAN DELTA!

Alpha, Beta dan Gamma – Semua ini merupakan contoh varian COVID-19 yang mungkin kita pernah dengar. Varian Alpha misalnya pertama kali dikesan di England pada September 2020. Varian Beta dan Gamma pula dikesan di Afrika Selatan dan Brazil. Terbaru, muncul pula varian baharu iaitu varian Delta yang bermula di negara India.

Tetapi, apakah maksud varian COVID-19 dan mengapa ia begitu berbahaya? Untuk pengetahuan anda, virus sentiasa mengalami perubahan melalui mutasi.

Disebabkan proses inilah, varian baharu akan muncul dan ada juga yang akan menghilang. Walau bagaimanapun, mutasi COVID-19 mempunyai bahayanya yang tersendiri.

Melalui proses mutasi, varian COVID-19 akan melalui perubahan yang membolehkan ia merebak dengan lebih pantas atau menjadi rintang terhadap vaksin.

Namun, tidak ada varian COVID-19 yang lebih membimbangkan berbanding varian Delta. Kini, varian ini telah merebak hampir ke 100 buah negara yang berbeza dan menyebabkan peningkatan kes COVID-19 dan kemasukan ke hospital.

Malah, varian ini juga telah menjadi varian yang dominan di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Namun, apakah perbezaan varian Delta dengan varian-varian lain?

5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Mengenai VARIAN DELTA!

5 Perkara Penting Anda Perlu Tahu Mengenai VARIAN DELTA!

1. Varian Delta lebih mudah merebak berbanding varian lain


Varian delta berasal dari mana? Varian Delta atau turut dikenali dengan nama B.1.617.2 merupakan mutasi COVID-19 yang pertama kali dikesan di India.

Dengan nama julukan ‘the fastest and the fittest’, CDC telah bertindak melabelkan Delta sebagai variant of concern (VOC) pada pertengahan Jun lalu.

Varian Delta mempunyai beberapa ciri dan simptom varian delta yang membuatkannya berbeza daripada virus COVID-19 yang lain iaitu:
  • Mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.
  • Mampu ‘melekat’ lebih kuat pada saraf sel paru-paru.
  • Mampu mengurangkan respons antibodi monoklonal.
  • Selain itu, varian Delta juga dapat merebak dengan lebih mudah di dalam kawasan tertutup seperti rumah dan pejabat.

Malah, menurut data daripada Public Health England, pesakit yang dijangkiti varian ini 1.8 kali ganda lebih berisiko untuk dihospitalkan berbanding mereka yang dijangkiti varian Alpha.

Bukan itu sahaja, menurut Yale Medicine, virus COVID-19 asal boleh menjangkiti 2.5 orang lain (dengan syarat tidak ada sesiapa yang divaksin atau memakai pelitup muka).

Namun, varian Delta boleh merebak dan menjangkiti 3.5 hingga 4 orang lain Hampir 2 kali ganda lebih banyak berbanding virus asal!

2. Tidak mahu mengambil vaksin? Anda lebih berisiko!

Varian Delta amat berbahaya terhadap individu yang belum mengambil vaksin atau masih belum melengkapkan vaksinasi.

Bukan itu sahaja, varian ini juga didapati lebih berbahaya terhadap kanak-kanak dan golongan remaja. Malah, mereka juga 2.5 kali ganda lebih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 dengan varian ini.

Mereka yang dijangkiti varian Delta juga menunjukkan beberapa simptom yang berbeza. Antaranya ialah:
  • Sakit perut.
  • Muntah-muntah.
  • Loya.
  • Hilang pendengaran.
  • Sakit sendi.
  • Hilang selera makan.

Tanda di atas juga sedikit berbeza berbanding simptom COVID-19 sebelum ini.


3. Varian Delta boleh menyebabkan jangkitan besar-besaran

Disebabkan kadar kebolehjangkitannya yang tinggi, tidak mustahil varial Delta boleh tersebar dengan pantas.

Manakan tidak, menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal medRxiv, individu yang dijangkiti dengan varian Delta mempunyai 1,000 kali ganda lebih banyak virus di dalam saluran pernafasan mereka berbanding pesakit yang dijangkiti dengan virus COVID-19 biasa.

Tambah lagi, selepas seseorang dijangkiti varian Delta, mereka boleh menjadi penyebar virus dengan lebih pantas.

Individu yang dijangkiti varian ini hanya perlukan 4 hari, 2 hari lebih pendek daripada kebiasaan untuk menjangkiti orang lain.

4. Bukan itu sahaja, ada juga varian Delta Plus!

Varian Delta Plus merupakan satu lagi kerisauan pakar. Varian yang ditemui di Amerika Syarikat dan United Kingdom ini mempunyai satu lagi tambahan mutasi yang unik.

Mutasi ini yang turut dikenali sebagai K417N, mempengaruhi protein pepaku yang berada pada permukaan virus.

Protein pepaku ini membantu virus untuk masuk ke dalam badan manusia dengan lebih mudah serta boleh menurunkan keberkesanan vaksin!


5. Vaksinasi merupakan perlindungan terbaik terhadap Delta

Cara yang terbaik untuk mendapatkan perlindungan daripada varian Delta adalah dengan mengambil vaksinasi.

Jika anda mendapat vaksin 2 dos seperti AstraZeneca, Pfizer-BioNTech dan Sinovac, anda perlulah mendapatkan kedua-dua vaksin dan tunggu 2 minggu selepas vaksinasi untuk keberkesanan maksimum.

Menurut WHO, vaksin yang sudah diuji adalah berkesan dan dapat melindungi individu daripada sebarang varian COVID-19.

Malah, vaksin Pfizer-BioNTech juga dapat memberikan perlindungan sebanyak 88% terhadap varian Delta selepas vaksinasi penuh.

Dalam masa yang sama, kita masih perlu melakukan penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan dan memakai pelitup muka di tempat awam.

Walaupun kita telah divaksin, masih ada individu lain yang belum melengkapkan vaksinasi mereka. Malah, ada juga yang tidak boleh mengambil vaksin atas sebab-sebab tertentu.

Oleh sebab itu, pastikan anda menjaga diri dan amalkan penjagaan kebersihan diri.

Elakkan berada di tempat awam dan pastikan anda berada di dalam bangunan yang mempunyai pengudaraan yang baik.

Sumber : Hello Doktor



0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama