10 cecair yang keluar daripada faraj wanita

Perkongsian daripada Ustaz Abdullah Hussin, tentang 10 cecair yang keluar daripada faraj wanita. Semoga bermanfaat~

Setiap satu berlainan hukum dari sudut najis dan hadas besar atau hadas kecil.

10 cecair yang keluar daripada faraj wanita

1. Air kencing

Ia adalah cecair sisa perkumuhan. Ianya adalah najis dan tidak sah solat jika ada air kencing di badan, pakaian atau tempat. 

Hukum : Keluar air kencing menyebabkan hadas kecil dan ianya adalah najis.

2. Air Mazi

Ianya adalah cecair yang keluar ketika berhubungan intim dan ketika syahwat diransang.

Hukumnya adalah seperti air kencing.

3. Air Wadi

Ianya adalah cecair yang keluar setelah melakukan kerja berat atau mengangkat sesuatu yang berat. Tidak semua wanita akan mengalaminya, boleh jadi seseorang itu tidak pernah keluar air wadi sepanjang hidupnya.

Hukumnya adalah seperti air kencing.

4. Air Mani

Ianya adalah cecair yang keluar ketika mencapai klimaks syahwat. Ianya berlaku pada lelaki dan wanita. Ianya adalah suci dan tidak najis.

Jika air mani najis, maka anak Adam berasal daripada najis.

Hukum : Keluar mani menyebabkan hadas besar dan mewajibkan mandi sebelum solat.

5. Keputihan

Ianya adalah cecair berwarna putih atau sedikit kekuningan. 

Namun perlu berhati-hati, jika cecair warna kuning keluar dihujung waktu haid, maka ianya dikira sebagai darah haid selama mana masih dalam lingkungan sebanyak-banyak haid lima belas hari.

6. Haid

Darah tabiat yang keluar daripada atas rahim wanita diatas jalan sihat pada waktu yang tertentu. Haid disebut sebagai hadas akbar (paling besar).

Ini kerana apabila seseorang wanita keluar haid, maka diharamkan baginya wudhu dan mandi wajib. Adapun mandi sunat harus sahaja.

Sekurang-kurang darah haid adalah sehari semalam.

Kebiasaan haid enam atau tujuh hari.

Sebanyak-banyak haid adalah lima belas hari lima belas malam.

Semua perkara yang diharamkan kepada orang berhadas kecil dan besar diharamkan kepada orang haid. Bahkan diharamkan juga bagi suami menceraikan isterinya di dalam haid.

7. Nifas

Ia adalah darah yang keluar selepas kosong rahim daripada janin atau awal penciptaan anak Adam.

Adakah orang yang keguguran keluar Darah Nifas?

Ya. Darah yang keluar selepas keguguran adalah dikira darah Nifas juga.

8. Istihadhah

Ianya adalah darah yang keluar daripada faraj wanita yang mana ianya bukan Haid dan bukan Nifas. 

Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. 

9. Darah Fasad

Darah yang keluar daripada kemaluan kanak-kanak yang belum sampai umur Haid iaitu Sembilan Tahun Qamariah Taqribiyyah.

Sebahagian ulamak mengatakan itu adalah darah Istihadhah. Syeikh Ibnu Hajar mengatakan ianya adalah khilaf lafaz sahaja.

10. Darah Talak

Iaitu darah yang keluar sebelum daripada beranak. Hukumnya adalah najis dan tidak mewajibkan mandi.

Persoalan.

Jika seseorang beranak tetapi tidak keluar darah. Adakah dia perlu mandi wajib sebelum solat?

Ya. Dia perlu mandi wajib sebelum solat kerana beranak adalah sebab kepada hadas besar. Jika tidak keluar darah, maka dia dikira tiada darah Nifas tetapi tetap wajib mandi kerana beranak.

Wallahu a’lam.


0 تعليقات

إرسال تعليق

Post a Comment (0)

أحدث أقدم