SITUASI SEMASA KLUSTER COVID-19 DALAM SEKTOR PENDIDIKAN




Sesi persekolahan di Malaysia telah bermula pada 9 dan 10 Januari 2022. Susulan itu, terdapat peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan berikutan peningkatan risiko penularan COVID-19 semasa perkumpulan ramai berlaku. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian kluster COVID-19 dalam sektor pendidikan sehingga 25 Januari 2022 (setakat jam 12:00 tengah hari). 

Bermula 1 Januari 2022 sehingga 25 Januari 2022, terdapat sebanyak 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan yang telah melibatkan 4,633 kes. Peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada tahun 2022 berbanding sesi persekolahan pada tahun 2021. 

Pada Minggu Epidemiologi (ME) 1 tahun 2022, hanya terdapat tiga (3) kluster pendidikan direkodkan. Namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2 di mana 15 kluster telah direkodkan dan peningkatan sebanyak 313% pada ME ke-3. Pada ME ke-4, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan telah dilaporkan.

Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3%) diikuti oleh kategori pendidikan lain (24.3%), kategori pendidikan tinggi (20.6%), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8%). Perincian kategori kluster pendidikan adalah seperti di Gambarajah 1.

Daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3%) telah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4%) pula telah menerima dos penggalak. Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7% (4,621 kes), manakala hanya 0.2% (12 kes) lagi adalah terdiri daripada kategori 3 dan 4 (rujuk Graf 2). Kesemua 12 kes tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan.

Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian ini berpunca daripada:

• Ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama;

• Individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas;

• Murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin;

• Ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan

• Sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama.




KKM telah menggariskan beberapa garis panduan saringan COVID-19 bagi sektor pendidikan dalam Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan. Sekolah rendah dan prasekolah pelbagai agensi perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RTK-Ag ke atas 10% daripada kohort murid yang hadir ke sekolah pada setiap minggu. Pengujian perlu dipantau oleh pihak sekolah dan PKD. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengesan awal kes COVID-19 dalam kalangan murid sekolah.

Laporan ujian pengesanan kohort 10% yang disediakan oleh KPM adalah seperti di jadual berwarna kuning yang dilampirkan.

Melihat kepada peningkatan kes dan kluster sektor pendidikan, satu mesyuarat khas KKM bersama dengan KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diadakan pada 22 Januari 2022.

Antara cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan ialah:

1) Pihak sekolah dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM;

2) Melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti COVID-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat;

3) Pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema;

4) Pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes COVID-19 dan kontak rapat;

5) Individu yang layak untuk menerima vaksin COVID-19 dan dos penggalak adalah digalakkan untuk berbuat demikian; 

6) Ibu bapa juga diingatkan untuk memainkan peranan dalam memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah;

7) Memastikan semua warga pendidikan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM sepanjang masa;

8 ) Pembersihan dan disinfeksi perlu kerap dilakukan terutama di permukaan yang kerap disentuh;

9) Memastikan ventilasi di kelas, bilik asrama dan ruang-ruang tertutup dalam keadaan yang baik bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19; dan 

10) Keputusan ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan oleh murid dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga di rumah perlu dilaporkan kepada pihak sekolah.




0 تعليقات

إرسال تعليق

Post a Comment (0)

أحدث أقدم