KENAPA SUSAH NAK DAPATKAN RAWATAN TENTANG MASALAH KESIHATAN MENTAL

Berdasarkan perkongsian daripada Dr Rozanizam Zakaria yang dikongsikan di halaman facebook beliau mengatakan ramai orang hadapi masalah mental tapi tak semua dapatkan bantuan. 

Oleh itu, beliau telah berkongsi 12 sebab mengapa orang susah nak dapatkan rawatan bila berhadapan dengan masalah kesihatan mental. 

Jom kita ikuti perkongsian beliau.

kesihatan-mental

KENAPA SUSAH NAK DAPATKAN RAWATAN TENTANG MASALAH KESIHATAN MENTAL

Tidak ada yang akan menafikan bahawa stress atau tekanan emosi itu merupakan sebahagian dari rencah kehidupan. Ia merupakan kesan langsung proses kehidupan yang datang secara pakej dengan pelbagai bentuk cabaran dan dugaan.

Namun realitinya, sempadan antara “stress yang biasa” dan masalah kesihatan mental itu tidak sejelas berbezanya hitam dan putih. 

Maka ramai yang membiarkan tekanan emosi berlarutan sehingga akhirnya menjadi suatu penyakit. Lebih parah lagi, kita meletakkan pelbagai halangan sebelum sampai kepada bantuan yang kita perlukan.

Agak menyedihkan, pada zaman yang serba terbuka dan pelbagai bentuk bantuan serta sokongan tersedia untuk pelbagai bentuk masalah mental, masih banyak kes yang tidak mendapat perhatian. 

Selang beberapa ketika, pasti akan timbul kes-kes tragis akibat kealpaan kita menghulurkan bantuan kepada mereka.

Mengapa sukar seseorang yang mengalami masalah gangguan kesihatan mental untuk mendapat bantuan sewajarnya?

1. Stigma “saya bukan gila” salah faham yang diwarnai gosip-gosip dan tohmahan mengenai hakikat sebenar gangguan psikiatri/psikologi atau mental

2. Kepercayaan dan keyakinan “boleh ke cakap dengan doktor tu selesai masalah?” – keyakinan terhadap apa bentuk sokongan yang boleh diperolehi.

3. Tak tahu“kadang-kadang terfikir lebih baik mati..tu pun masalah mental ke?” kurang pendedahan terhadap gejala-gejala masalah mental.

4. Takut “takut aku, nanti doktor tahan masuk wad gila” – kepercayaan yang tidak berasas terhadap rawatan, hak dan keperluan sebagai seorang pesakit.

5. Bergantung pada diri sendiri“tak apa, pandailah aku selesai sendiri..” membebankan diri dengan penyelesaian yang tak kunjung tiba.

6. Tak tahu apa yang ada “ada ke tempat kat Malaysia ni boleh ajar cara nak handle stress” – kurang maklumat tentang perkhidmatan psikiatri di Malaysia

7. Kurang capaian “jauh sangat kalau nak ke hospital, dekat-dekat sini tak ada ke?” – masalah logistik

8. Payah luah perasaan “tak retilah nak cerita-cerita emosi ni..” rasa sukar untuk meluahkan, lebih suka memendam masalah.

9. Tak mahu menyusahkan orang “doktor pun banyak masalah dah..nak tambah dengar masalah aku..” Rasa janggal meminta bantuan orang luar untuk menyelesaikan masalah peribadi.

10. Lebih suka cara yang lain “jiran mak mertua adik ipar aku cakap, bomoh kampung sebelah sepupu dia pandai ubat orang kes macam kau ni..”

11. Risau akibat kesan “kalau jumpa doktor psikiatri, gelaplah masa depan, habis viral cerita aku” – andaian tidak realistik berhubung status rawatan di perkhidmatan psikiatri.

12. Penafian “sekali sekala je aku dengar-dengar suara..tak ada apa pun..” menafikan hakikat perubahan psikologi yang berlaku dalam diri.

Hampir 1/3 dari rakyat Malaysia menunjukkan gejala maslah mental. Namun kita masih lagi merasakan isu ini harus disembunyikan dibawah permaidani. Sampai bila?

Tak tahu bertanya, tak yakin kita berbincang, tak percaya kita fahamkan. Segalanya bermula dengan fikiran dan jiwa yang terbuka.


Rujukan : Gulliver, A., Griffiths, K. M., & Christensen, H. (2010). Perceived barriers and facilitators to mental health help-seeking in young people: a systematic review. BMC psychiatry, 10(1), 113.


0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama