Sejarah Bendera Malaysia | Jalur Gemilang

Bendera Malaysia | JALUR GEMILANG


Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat, dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air.

Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan, yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Dalam budaya Melayu, bendera biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Bendera Malaysia, yang dikenali sebagai Jalur Gemilang, mempunyai 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar, bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah.

Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka, dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya).
  • Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani
  • Warna putih pula membawa makna suci murni. 
  • Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu.
  • Warna biru pada latarbelakang bulan sabit dan bintang pula melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.

Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih, dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom serta penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.

Sejarah Bendera Malaysia

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. 

Dalam pertandingan tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Pada 15 November 1949, hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir, dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, telah dipilih sebagai pemenang.

Walau bagaimanapun, reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan, di mana bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja. Pindaan ini telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. 

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

Buat pertama kalinya, Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan kehadiran DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Sejarah Bendera Malaysia

Perkembangan dan Penambahan Jalur

Bendera Persekutuan Tanah Melayu, yang pada asalnya berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih, telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur selepas kemasukan Sabah, Sarawak, dan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. 

Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. Walaupun Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal.

Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang.

Susunan Keutamaan Bendera

Susunan keutamaan bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan perlantikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV pada 13 Disember 2016, kedudukan Susunan Kekananan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri adalah seperti berikut:

Keutamaan Negeri/Wilayah:

  • Malaysia
  • Kedah
  • Pahang
  • Terengganu
  • Perlis
  • Selangor
  • Negeri Sembilan
  • Johor
  • Perak
  • Kelantan
  • Pulau Pinang
  • Melaka
  • Sabah
  • Sarawak
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Wilayah Persekutuan Labuan
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya
Susunan kekananan DDYMM Raja-Raja dan TTYT Yang di-Pertua Negeri yang terkini adalah berkuat kuasa pada 13 Disember 2016.


Kesimpulan

Bendera merupakan simbol yang memegang nilai-nilai penting bagi sesebuah negara. Jalur Gemilang bukan sahaja melambangkan kedaulatan dan martabat negara, tetapi juga menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu panji yang sama, mencerminkan keberanian, kesucian, dan persahabatan antara negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan.

0 تعليقات

إرسال تعليق

Post a Comment (0)

أحدث أقدم