Tali Gantung Dan Banduan Akhir

 


Tali gantung yang diimport diperbuat daripada jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung. Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000.

Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekal akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan ianya disimpan di dalam peti besi.

Setiap tali gantung yang diterima ada perkiraannya. Ada cara-cara yang kita kena ikut. Tidak boleh ambil dan terus pasang.

Ada empat jenis tali dan tali tersebut dipilih mengikut berat banduan. 

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan.


*APABILA RAYUAN DITOLAK*


Di penjara Kajang, banduan yang dijatuhkan hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Waktu untuk laksanakan hukuman adalah satu jam. Untuk banduan beragama Islam biasanya hukuman gantung akan dijalankan pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan beragama Islam pula, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza. 

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

Biasanya banduan akhir ini akan tahu dia akan digantung bila mana dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat. 

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk "perjumpaan terakhir".

Lazimnya suasana pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini. Banduan juga diberi pilihan untuk "hidangan terakhir" bernilai RM7.50.


*HARI PENGGANTUNGAN*


Kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung dengan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan. Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia.

Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

Menurut seorang petugsa penjara yang bernama Samuel, "Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu," katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

"Jangan ikut tabiat buruk ayah."

Itu antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman. Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai Kameja-T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. "Mati penuh gaya banduan itu kata dengan jenaka," cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dijalankan.


*BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG*


Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter. Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya mencecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik 'gear' yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. "Ini petua yang diberi oleh bos-bos saya dulu," kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

"Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas," katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah...



Kredit : Aby Gemersik



Agensi Antidadah Kebangsaan menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan serta penagihan dadah.

Jika anda atau orang yang anda kenali ingin menyertai program rawatan dan pemulihan dadah yang disediakan oleh pihak AADK, sila hadir ke pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi talian Hotline AADK di 03-8911 2233.


#ToStop #ToDelay #ToPrevent #PreventionIsBetterThanCure

0 تعليقات

إرسال تعليق

Post a Comment (0)

أحدث أقدم